PERMINTAAN TERAKHIR

November 16, 2011

Mendung je sepanjang hari tu..hujan tidak juga turun. naik turun nafas mak..sakit tak pernah berakhir malah makin teruk sejak melakukan pembedahan pintasan jantung setahun yang lalu. Mula-mula diabetes lepas tu buah pinggang pula ada masalah. Yang aku tahu mak susah bernafas. siang dan malam mak tanggung siksa tu. Kesian aku lihat keadaan mak. Keadaan mak sewaktu aku tinggalkan dia 6 bulan sebelum tu tidak banyak berubah malah kelihatan bertambah teruk.
Sejak berbulan-bulan aku dinegara orang rindu aku pada hutan sangat menebal. Apalagi tak sampai dua tiga minggu aku balik ke Malaysia aku terus mencari-cari trip yang dianjurkan kawan-kawan. Nasib aku baik ada la seorang teman ajak aku ke gunung tebu. Yess!!! It’s free..dari KL kami bertolak ke Besut Terengganu. Trip 3 hari 2 malam itu aku abadikan dalam kenangan dan sekurang-kurangnya dapat menghilangkan rasa rindu aku pada gunung ganang. Tidak cukup disitu, seminggu lepas tu aku mengikuti satu lagi ekspedisi ke gunung benum Pahang. aku beruntung mak tak pernah menghalang minat aku walaupun aku tahu mak sangat risau keadaan aku tika tu. Tapi mak tak pernah sekalipun melarang aku dan menyebut sesuatu yang bukan-bukan tentang bahaya yang mungkin akan aku hadapi dengan aktiviti kesukaan aku tu. Mak pernah cakap, mak pun suka hutan. Mak seronok setiap kali aku bercerita pada mak peristiwa disepanjang pendakian aku. Kami bersembang sampai larut malam. Kami memang rapat. Mak seorang teman yang sangat memahami aku.
Sejak sebelum aku berangkat ke Uk dan sampai la aku pulang dari Uk, masalah aku tidak juga berakhir. Mungkin terlalu sensitive untuk aku paparkan di sini. Masalah hubungan yang tak mungkin terjadi dan sedikit kemelut keluarga. Aku yakin dari raut wajah mak sejak aku jaga mak di IJN selama berbulan-bulan lagi aku sangat faham mak sangat risaukan aku. Mak pernah cakap akulah anak yang paling dia risau kerana aku masih bergantung pada adik beradik yang lain. Aku masih belum mampu untuk berdikari. Disamping masalah yang aku hadapi ketika tu, sudah cukup membuat mak pening memikirkan hal aku. Mungkin setiap kali mak habis solat mak sentiasa doakan aku. aku tahu mak nak yang terbaik untuk aku. mak nak aku mampu bina hidup aku sendiri.
Aku pula masih terumbang-ambing dalam dunia aku sendiri. Mungkinkah nasib aku. Terlupa pula untuk mengisi boring online kemasukan degree ke uitm. Sementara menghantar resume ke syarikat-syarikat tertentu, masa aku terbuang begitu je. Oleh kerana aku masih tidak punya hala tuju, aku sekali lagi mengikuti ekspedisi mendaki gunung. Kali ni ke Terengganu iaitu gunung berembun. Dengan tidak mengenali barang seorang pun rakan pendaki yang lain aku seperti biasa memberanikan diri mengikuti ekspedisi mereka. Bagi aku yang penting ianya free. Atas  cadangan seorang teman yang mengenali ketua projek untuk ekspedisi tu, aku rasa sedikit yakin untuk mengikuti mereka. Pilihan aku tidak salah, abang najie dan isterinya kak fida memang baik. Mereka anggap aku macam sepupu mereka. Jadi aku tidak berasa kekok untuk mengikuti ekspedisi tu.
Tanpa aku sedari disitulah titik tolak segala yang dah memang direncanakan ilahi buat diriku. Bertemu di kem Y dan berakhirlah sebuah kehidupan lalu. Kini segalanya hampir 100% berubah. Aku seakan terlupa siapa aku yang dulu. Segalanya berjalan begitu pantas barangkali sederas air sungai lansir yang mengalir. Bagai angin pantas menderu pergi. Tiada lagi kebebasan seperti dahulu. Namun aku rela diri aku sedikit terikat dengan aturan hidup ini. Aturan hidup yang mampu mengubah seorang remaja yang tiada hala tuju kepada yang lebih punyai visi dan misi. Hidup kini terikat dengan komitmen.
Malam itu, aku dan mak bersembang panjang. Seingat aku jam hampir mencecah ke 5 pagi. Aku sampaikan hasrat seseorang dalam keadaan berjenaka. Mak terima dengan sungguh-sungguh. Mak ulang banyak kali. “terima la, bukan ke itu yang awak inginkan”. Entah mengapa jiwa aku terasa disuruh-suruh untuk mengiyakan kata-kata mak. Lalu aku menerima lamaran itu. Inikah permintaan hati mak. Tidak cukup setakat itu, mak inginkan semuanya selesai dalam masa terdekat. Mujurlah dipihak suamiku menerima seadanya masa yang amat singkat permintaan mak atas alasan kakakku sekeluarga pulang bercuti dari Uk ketika tu. Semuanya bagai tiada masalah yang menghalang. Begitu sempurna. Tak sempat untuk aku berubah fikiran dan aku belajar menerima semuanya dengan reda dan yakin akan ketentuan hidupku. Pasti itu yang terbaik buatku. Apakah mak sudah lega ketika melepaskan aku. Aku dapat gambarkan kegembiraan mak walaupun ketika tu muka mak pucat menahan sakit.
Hanya lebih kurang 40 hari selepas itu. Ketika aku sedang berada jauh bukan disamping mak. Khabar yang paling pahit aku terima sepanjang usia. Mak tidak lagi bernafas. mak berehat buat selamanya. sewaktu mendakap wajahnya kali akhir jiwa aku redup seketika dan airmata hilang serta merta. Dah lama barangkali aku tidak melihat keadaan mak setenang itu. Tiada lagi turun naik nafas seperti sebelumnya. Bibir mak segar bagaikan tersenyum puas dan seperti seringkali hadir dalam mimpiku mak akan memeluk dan mencium pipiku. Senyuman mak abadi dalam ingatanku. Bersyukur pada Allah S.W.T aku mampu menunaikan permintaan terakhir mak.


You Might Also Like

0 comments

Ladies & Kids Bundle

Freelance Graphic Designer

Popular Posts