Chamah Ulu Sepat Charity Expedition

September 05, 2007

Day 1st

Setelah selesai menjawab ujian Financial admin, aku tergesa-gesa dan meminta untuk keluar lebih awal. Bas untuk ke KL tepat pukul 11.30 pagi. waktu itu, elly member sekelas aku menghantar aku ke stesyen bas. Sebelum itu, kami ke rumah sewa usop mengambil beliau. Aku dan Usop menaiki bas yang sama.

Setelah hampir 5 jam perjalanan, kami pun tiba di stesyen putra. Waktu itu hujan turun dengan lebatnya. Namun, usop ketika itu mahu membeli sesuatu di low yat. Jadi kami pun tergesa-gesa ke low yat. Kasut dan seluar aku mula basah, disebabkan hujan mencurah lebat tidak henti-henti.

Lebih kurang jam 7.30 malam aku dan Usop pun sampai di KL Central. Aku mencari Ipin terlebih dahulu. Waktu tu aku rase segan sangat maklumlah semua member ekspedisi kali ni aku tak kenal. Cume Ipin dan Usop je. Dah la ramai. 50 org kesemuanye. Mcm rombongan sekolah pulak, desisku dalam hati.

Jam 8.30 malam keretapi Express Wau kini meluncur laju. Ini kali kedua aku menaiki keretapi jarak jauh ke negeri cik siti wan kembang. Dalam perjalanan, memang terasa kebosanan yang teramat sebab aku tidak mengenali member-member lain. Umur kami yang agak berbeza membuatkan aku sukar untuk berinteraksi dengan mereka. Mungkin masih belum kenal. Pada mulanya aku dan Ipin agak takut. Maklumlah ni first time aku daki gunung yang berketinggian 7000 kaki. Member eskpedisi pulak aku tak kenal. Bermacam-macam andaian bermain dlm minda aku waktu tu.


Day 2

Photobucket

Suasana stesyen keretapi Gua Musang agak berbeza dengan Dabong. Disini lebih meriah. Bukit-bukit batu kapur bagaikan tembok atau dinding menjadi landskap semulajadi stesyen keretapi ini. Kami diberi taklimat ringkas oleh organiser iaitu Abg Fendi. Selepas itu kami menikmati breakfast di warung berdekatan. Waktu itu, Ipin tidak

melepaskan peluang untuk menikmati nasi kerabu. Kemudian, kami dibawa oleh sebuah bas menuju ke sebuah perkampungan orang asli. Bas melalui jalan raya dikelilingi kebun getah. Dendangan lagu dilet kelantan membuatkan aku benar-benar berasa berada dalam daerah itu. Sesampainya di Kuala betis, kami mula bersiap sedia dan menunggu pacuan 4 roda untuk mengambil kami masuk ke Pos Simpon.

Photobucket

Perjalanan menaiki pacuan 4 roda mengambil masa selama 4 jam. Debu sentiasa berapung-
apungan apabila beselisih dengan tayar pacuan 4 roda yang kami naiki. Ada sesuatu yang baru yang dapat aku coretkan dalam buku memori. Di sepanjang perjalanan meredahi jalan balak, aku dapat melihat perkampungan orang asli. Ini kali pertama dalam hidup aku melihat dengan mata sendiri kehidupan orang asli. Ianya sedikit sebanyak membuat aku tertarik walaupun perjalanan yang agak mengambil masa itu amat membosankan.

Di pos simpon, lebih kurang jam 3.30 petang. Kami menjamah makan tengahari yang serba simple untuk memberi sedikit tenaga buat ahli ekspedisi kerana ekspedisi akan bermula. Baju-baju dan beras untuk didermakan kepada penduduk orang asli diserahkan kepada tok batin.

Jam 4.oo petang ekspedisi bermula meredahi jalan balak. Argh, pada mula-mula aku dah rase sangat penat. Waktu tu, aku rase agak takut, maklumlah, melihat ahli-ahli ekspedisi lain yang agak tough. setelah beberape jam perjalanan, kami berehat untuk menghormati waktu maghrib. Waktu itu aku dan ipin serta abang-abang Jiwa Kacau. Bahu aku rase sangat sakit. Kemudian abang Bob berikan aku satu ubat mujarab. Alhamdulillah, sakit aku hilang. Perjalanan diteruskan. Waktu itu hanya aku dan Ipin. Ahli-ahli yang lain entah kemana. Keadaan sebegini agak berbeza dengan pendakian aku sebelum ini yang lebih kepada berkumpulan. Setibanya aku di sebuah anak sungai, kami berehat buat seketika, melepaskan rase penat. Beberapa minit kemudian aku dan Ipin meneruskan pendakian. Kepekatan malam ditambah dengan kedinginan membuatkan kaki malas melangkah. Tapi perjalanan harus diteruskan.

Lebih kurang jam 10.30 malam, akhirnya aku dan Ipin tiba di kem rekom dimana disitu kami berkhemah dan bermalam. Kem rekom ini adalah perkampungan kecil orang asli yang agak pendalaman. Penduduknya juga tidak ramai. Terfikir aku bagaimana agaknya mereka disini mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan serta perkara asas yang lain.


Day 2

Selepas bersiap-siap kami bergerak perlahan-lahan meninggalkan kampung Rekom. Beberapa jam perjalanan, sebilangan antara kami berhenti buat seketika di Kem Tengah. Kemudian pendakian diteruskan. Menurut kata Usop, kami akan menemui 8 puncak tipu sebelum sampai di

puncak Chamah. Menurut abg fendi pula, kami akan sampai di puncak paling lambat sebelum malam. Hampir separuh hari perjalanan, bukit demi bukit di daki, tibalah kami dikem tongkat ali. Disitu, kami berhenti buat seketika. Disitu juga terdapat banyak pokok tongkat ali dan kami juga dihidangkan dengan air sarsi asli yangdiambil dari kulit pokok sarsi di kawasan itu. Setelah penat reda dan rasa sedikit bertenaga, aku dan Ipin meneruskan pendakian. Kami mengharapkan kami akan tiba di puncak sebelum malam. Ada juga diantara member ekspedisi yang mendaki ke puncak tanpa membawa beg bersama. Mereka hanya berkhemah di kem tongkat ali. Waktu itu, aku,Ipin, zila dan beberapa yang lain mendaki bersama sehinggalah selepas beberapa puncak tipu, akhirnya kami berpisah. Banyak bukit terpaksa kami daki membuatkan mental aku rasa tercabar. Penat dan rasa malas untuk melangkah kadang-kadang mengusik semangat aku. Nasib baik la ada Ipin waktu tu setia memberi semangat. Waktu tu, kaki bagaikan diseret-seret untuk meneruskan langkah, namun dicekalkan hati untuk meneruskan perjalanan. Naik bukit turun ke lembah terasa bagai tidak sampai ke penghujung pendakian. Kini hanya tinggal aku dan Ipin. Petang semakin lewat. Kalau mengikutkan kata-kata abg fendi, kami sepatutnya sudah tiba di puncak. Terfikir aku, kami mungkin sudah hampir sampai. Namun senja memaksa kami berehat buat seketika. Hujan mulai turun renyai-renyai. Aku mula mengenakan baju hujan dan siap dengan head lamp. Beberapa minit kami melangkah, hujan menjadi semakin lebat. Beg terasa agak berat. Berjalan dalam hujan lebat, suasana menjadi hitam pekat, gemersik unggas bertukar dengan bunyi guruh yang sekali sekala diselit dengan pancaran kilat mencerahkan ruang. Bunyi katak dan binatang lain mengundang rasa tidak senang . kami meredahi denai berpandukan cahaya lampu suluh yang hanya samar apabila dihalang kabut yang agak tebal. Badan mula berasa sejuk. Tika itu, ada juga aku terfikir, adakah kami berdua tersesat di hutan itu. Berfikir begitu, naik gerun juga aku. Lagipun hanya kami berdua disitu. Kami berjalan dalam keadaan selut dan air yang menenggelamkan kaki sehingga ke paras lutut. Ini kerana trek yang yang kami lalui adalah laluan air. Langkah kaki semakin berat. Hujan masih belum berhenti, benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mentalku sekaligus. Namun aku tidak punya pilihan selain meneruskan pendakian. Kami menjerit dengan hasrat jeritan itu didengari member ekspedisi yang lain. Namun jeritan kami tidak di balas membuatkan risau aku semakin menebal. Berkat kesabaranku meredah hutan tebal dalam keadaan hujan mencurah akhirnya berbaloi. Dengan tidak disangka terlihat cahaya dan beberapa khemah yang siap dipasang bermakna kami sudah sampai di puncak. Jeritan kami tidak didengari mungkin disebabkan bunyi guruh dan hujan lebat yang menghalang pendengaran.


Day 3

Photobucket

Aku bangun seawal pagi bagaikan ada yang mengejutkan. Mana mungkin aku melepaskan peluang menonton matahari terbit mencalit indah sang kabus. Kali ini aku mengambil sepuas-puasnya gambar sebagai kenangan sebelum meninggalkan puncak ini. Jam 8 pagi, kami mula beransur-ansur meninggalkan puncak Chamah menuju ke Kem Tongkat Ali. Lebih kurang jam 2 tghari akhirnya tibalah kami di kem tongkat ali. Aku dan Ipin tidak mengambil masa lama disitu, berehat seketika, kemudian kami meneruskan perjalanan turun ke kem rekom. 3 jam perjalanan, akhirnya kami tiba di kem rekom. Di kem rekom, kami berehat dan menikmati juadah petang bagi menghilangkan rasa lapar. Kemudian,kami bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan. Selepas waktu maghrib berlalu, kami mula bergerak beramai-ramai meninggalkan kem rekom menuju ke kem sungai peres. Perjalanan meredahi jalan balak dikelilingi pokok resam untuk ke kem sungai peres. Namun disepanjang trek, terdapat banyak pokok berduri. Kaki dan tangan mula dicalar duri. Jam 10.30 malam akhirnya kami tiba di kem sungai peres. kami bermandi manda untuk menghilangkan peluh yang membuatkan badan berasa tidak selesa. Selepas itu, kami dijamu juadah malam oleh skuad memasak. Ada yang mula tidur kepenatan dan ada yang masih bersembang.


Day 4

Jam 8 pagi, aku dan Ipin bergerak untuk ke destinasi seterusnya iaitu kem sungai leper. Kami meniti disebatang pohon balak yang terentang bagaikan jambatan semulajadi. Dibawahnya mengalir deras air sungai peres. dingin air sungai peres adalah dingin air sungai dari gunung. Kini, aku, Ipin, Usop, Celol dan Ajay berjalan bersama-sama.kami berhenti seketika di kem pintu gerbang. Kemudian pendakian diteruskan. Beberapa jam perjalanan, akhirnya kami tiba di kem meggi dimana disitu, ada diantara kami menjamu makan tengahari dengan bekalan makanan yang siap dimasak di kem Sungai peres. Setelah badan berasa kembali bertenaga, pendakian diteruskan. Pendakian ke kem junction agak mencabar oleh kerana tracknye yang mencacak membuatkan fizikal rasa tercabar. Perjalanan seterusnya agak relax, oleh kerana tahap ketinggian sudah melepasi 6000 kaki, darjah kesejukan dapat dirasai terutama apabila berhenti rehat. Treknye yang berlumut tebal memang memikat hati sedikit sebanyak menghilangkan rasa penat. Namun treknya agak berselut menyukarkan pergerakan oleh kerana kaki sering terbenam ke dalam selut yang agak dalam memaksakan kami berhati-hati mengatur langkah.

Aku memandang mendongak langit menerusi celah-celah daun hutan. Embun-embun segar jatuh membasahi mata. Bagaikan syurga orkid, itulah nama yang sesuai untuk menggambarkan betapa indah dan unik di satu puncak tipu yang dipenuhi pepohon bonzai. Indah bagaikan tempat bidadari hutan mendendangkan

lagu dan bagaikan sebuah istana tersergam indah terbina disitu berabad dahulu. Aku tidak melepaskan peluang mengabdikan pemandangan indah itu dihujung lensa. Selesai menikmati ketenangan di puncak itu, kami berlima meneruskan perjalanan. Taman orkid itu kian menghilang disebalik cenuram dan pepohon hutan yang dipenuhi lumut menghijau membuatkan suasana suram dan dingin. Beberapa jam perjalanan kami berhenti beberapa kali akibat kepenatan. Deruan air sungai sayup-sayup kedengaran dibawa angin bukit. kami berhenti seketika menghormati waktu maghrib. Bayang-bayang pepohon hutan semakin menghilang membawa senja jadi malam. Kami meneruskan perjalanan menuruni lembah ke kem sungai leper.


Day 5

Jam 8.30 pagi, kami mula beransur-ansur bergerak ke destinasi terakhir iaitu puncak Ulu Sepat. Pendakian ke puncak Ulu Sepat tidak sesukar puncak Chamah. Beberapa jam perjalanan, waktu itu matahari agak tegak berdiri bermakna dalam tengahari kami sudah tiba di puncak. Kami tidak mengambil masa lama, hanya bergambar dan menikmati pemandangan dari puncak. Setelah masing-masing mengisi perut dengan nasi lemak yang siap dimasak di kem sungai leper,

Photobucket

kami bergerak perlahan-lahan meninggalkan puncak Ulu sepat ke kampung orang asli. perjalanan turun agak mudah, tidak memerlukan banyak tenaga kerana treknya yang hanya menurun. Lewat petang, kami melalui trek kebun orang asli dan merentasi sebatang sungai, maghrib sekali lagi membantutkan pergerakan kami. Waktu itu, aku, Ipin, abg nabil, Fizi dan abg Alias. Setelah melepasi waktu maghrib, kami berlima meneruskan perjalanan ke kampung orang asli. Namun, perjalanan kami terhenti di sebatang anak sungai oleh kerana kami keliru dengan trek yang kami patut lalui. Setelah beberapa minit menunggu membe-membe lain dibelakang, kami mengambil keputusan meneruskan juga perjalanan setelah meniliti dan yakin dengan trek yang akan kami lalui. Kurang 10 minit perjalanan, kami mendengar suara menjerit. Aku tahu itu suara Usop yang sudah tiba awal di campsite. Namun member-member lain kurang yakin oleh kerana suara itu seakan perempuan..Alhamdulillah, trek yang kami lalui memang betul dan akhirnya kami tiba di campsite terakhir.


Day 6

Seawal pagi, kami meneruskan perjalanan ke kampung rantau dimana disitu pacuan 4 roda sudah sedia menunggu kami. Lebih kurang 12 tghari, pacuan 4 roda meluncur laju meningalkan kampung rantau menuju ke pekan lasah. Hatiku betul-betul terusik. Sudah pasti aku akan rindukan hutan ini. Jika berpeluang, ingin sekali lagi aku mengikuti trip ke sini. Alhamdulillah, perjalanan kami lancar dan kami berjaya menyempurnakan misi pendakian ini dengan baik. Sesampainya kami di pekan lasah, bas sudahpun sedia menunggu. Selepas membersihkan diri, kami mengambil kesempatan terakhir untuk mengabdikan potret terakhir bergambar beramai-ramai..

You Might Also Like

0 comments

Ladies & Kids Bundle

Freelance Graphic Designer

Popular Posts